Ahlan Wasahlan Wa Marhaban Bikum!

durra

Visit Me at:

in the mind of durra
   

<< December 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Feb 23, 2005
IRC: Kami bantah kerana 0rang Islam boleh murtad selepas 25 Februari ini?

IRC: Kami bantah kerana 0rang Islam boleh murtad selepas 25 Februari ini?
Wednesday, February 16 @ 13:31:05 MYT


Oleh UMAR ZIYAD
Suruhanjaya Antara Agama (IRC) serta rang undang-undang mengenainya akan dilancarkan pada 24 dan 25 Februari ini. Seperti dijelaskan dalam beberapa artikel terdahulu, IRC (nama asalnya Majlis Antara Agama) adalah hasil perancangan antara majlis perundingan agama-agama bukan Islam (MCCBCHS) dengan Majlis Peguam. (Sila rujuk dua artikel di bawah: "IRC bakal musnahkan keharmonian berbilang agama" dan "Majlis Peguam juarai hak untuk murtad")

Penganjur kini berusaha keras bagi mendapat "restu" pemimpin utama kerajaan untuk melancarkan IRC, termasuk daripada Perdana Menteri sendiri, selepas menyedari tentangan berterusan daripada umat Islam negara ini. Atau setidak-tidaknya tiada kata celaan terhadap inisiatif mereka itu.

Menghina Islam

Meneliti tentatif program, pembentang kertas kerja merupakan orang yang banyak menimbulkan kontroversi mengenai Islam, malah pernah secara tidak beradab mempertikai isu-isu asas dalam Islam, misalnya Malek Imtiaz, Haris Fathillah (selalu memberi ucapan tentang murtad dalam perjumpaan Majlis Peguam), Leonard Teoh (peguambela yang mewakili Aishah Bukhari dalam isu murtad), dan seorang wakil Sisters in Islam.

Antara fungsi utama IRC nanti ialah mengadakan satu mekanisme untuk menyelesaikan masalah antara agama, misalnya hak orang Islam untuk murtad, dan ini tentulah tidak dapat dibiarkan begitu saja oleh orang Islam.

Presiden MCCBCHS, V Harcharan Singh, secara terus terang dalam wawancara The Sun weekend, 29 Januari lalu, menimbulkan hal-hal sensitif ini, termasuk keperluan orang Islam diberi hak murtad. Kenyataan itu sebenarnya adalah lanjutan daripada memorendum "anti-Islam" majlis berkenaan kepada Majlis Peguam, yang kemudiannya mencetuskan idea penubuhan IRC.

Harcharan juga mengkritik pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atas tindakan menahan orang-orang Islam yang melakukan kerja-kerja bertentangan dengan agama, di sebuah kelab malam baru-baru ini. Beliau mempersoal kuasa JAWI untuk berbuat demikian, bukan lagi sekadar mengkritik kaedah penahanan dilakukan. Baginya, isu-isu berkaitan moral harus dibiarkan kepada keluarga dan individu sahaja.

Dibimbangi sikap campur tangan dalam hal-hal yang tidak ada kena mengena dengan hak mereka untuk menganuti agama masing-masing itu semakin menjolok mata. Selain boleh mengancam keharmonian agama di negara ini, ia dianggap tindakan "biadab" dan mesti dihentikan.

IRC yang dicadang itu -- seperti dimaklum penganjurnya, Malek Imtiaz Sarwar -- bukanlah satu badan yang prihatin dalam hal ehwal mempraktikkan agama, tetapi mementingkan hak asasi manusia tentang agama, seperti hak keluar dari agama, hak mempersoal mana-mana agama, tidak kira sama ada mereka penganut agama berkenaan atau tidak.

Peranan Konrad Adenauer Foundation

Satu lagi perkembangan kurang sihat dalam hal berkaitan adalah campur tangan Peter Schier, Pengarah Konrad Adenauer Foundation (KAF) Malaysia, dengan memberi bantuan kewangan, bagi mempromosikan aktiviti seumpama itu.

Awal-awal lagi satu kumpulan Muslim menjelaskan sikap penentangan mereka kepadanya, terutama campurtangannya sebagai orang asing dalam masalah agama di Malaysia. Ketika itu beliau beranggapan penubuhan IRC adalah tidak sesuai, bukan disebabkan ia bersifat anti-Islam, tetapi kerana masalah rumit dalam perlantikan wakil-wakil untuk setiap agama. Kini jelas beliau tidak bercakap benar!

Peter Schier terbabit dalam beberapa aktiviti yang memberi gambaran buruk kepada Islam. Beliau pernah menganjurkan persidangan Etika Global, yang merupakan satu konsep sekular, bertujuan menggantikan agama sebagai sumber ajaran moral dan etika. Beliau mengambil ajaran-ajaran bersamaan dari semua agama, yang digabungkan semuanya menjadi sumber utama etika dan moral, manakala agama kemudiannya diketepikan.

Dalam kegiatan yang sama beliau juga menayangkan satu dokumentari mengenai Etika Global. Di dalamnya ada beberapa aspek yang memberi gambaran buruk kepada Islam. Ini ditentang beberapa tokoh Islam terkemuka seperti Prof Kamal Hassan dan pemimpin ABIM. Beliau turut menjadi editor bersama buku bertajuk "Is Malaysia An Islamic State?" yang mana beberapa isu-isu bertentangan dengan kedudukan Islam di Malaysia telah diheboh-hebohkan.

Peter Schier dikatakan pakar dalam campurtangan masalah politik di negeri beliau bertugas. Pada tahun 90-an, semasa beliau di Kemboja sebagai wakil KAF, beliau telah diserang oleh beberapa pihak di sana kerana campurtangannya dalam hal ehwal politik negara itu. Sekarang nampaknya beliau melakukan kerja yang sama di Malaysia.

Tepat sekali digambarkan beliau sebagai "cultural saboteuer" (pakar sabotaj budaya). Kerajaan digesa supaya meninjau gerak-gerinya yang sentiasa memasukkan pendirian "anti-Islam" melalui kegiatan KAF di negara ini sebelum tercetus tragedi tidak diingini.

II

IRC bakal musnahkan keharmonian berbilang agama

Walaupun usaha menubuhkan Majlis Antara Agama (IRC) ditentang hebat masyarakat Islam namun satu persidangan bertaraf nasional akan diadakan Februari depan. Penganjur giat melobi untuk mendapat sokongan kerajaan.

Kerajaan diharap tidak terperangkap kerana ia boleh memusnahkan keharmonian kehidupan antara penganut berlainan agama di Malaysia. Ini kerana ia sengaja mempersoalkan beberapa prinsip asas Islam.

Idea asal IRC tercetus dari memorandum dan desakan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh (Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism - MCCBCHS) yang diserahkan kepada Majlis Peguam. Kini ia dijuarai Majlis Peguam sendiri.

Agama dalam kad pengenalan

Keseluruhan memorandum MCCBCHS bertarikh 21 Ogos 2001 itu berbau anti-Islam. Antara aduan dan tuntutan mereka ialah:

Orang Islam hendaklah diberi hak untuk murtad. Supaya dapat berbuat demikian, mahkamah sivil dan bukanlah badan berkuasa syariah, yang berhak menuntut kebebasan untuk murtad -- sebagai satu aspek kebebasan agama yang diperuntukkan oleh Perlembagaan -- bagi orang Islam. Definisi Muslim dalam undang-undang negeri adalah amat luas dan tidak mematuhi Perlembagaan.

Usaha yang dibuat oleh badan-badan berkuasa syariah adalah melampau dan boleh dipertikai. Kad pengenalan orang Islam sepatutnya tidak mencatatkan agama mereka.

MCCBCHS dan juga beberapa orang dalam Majlis Peguam, serta jawatankuasa kecil hak asasi manusia di bawahnya, tidak peduli dan sensitif dengan hakikat bahawa:

Bukan Islam tidak berhak membangkitkan isu-isu yang hanya menyentuh orang Islam sahaja dan juga ajaran Islam.

Mereka sebagai bukan Islam tidak berhak menimbulkan hak kebebasan beragama orang Islam. Bagi mereka, Perkara 11 yang memberi hak kebebasan agama, juga memberi hak kepada orang Islam untuk keluar agama, seolah-olah Perlembagaan mengatasi ajaran Islam. Tetapi bagi Muslim, hak kebebasan agama hendaklah ditafsir menurut ajaran Islam dan bukan melanggarnya.

Sebagai pemimpin agama bukan Islam, hak mereka adalah mengenai agama mereka sahaja. Mereka tidak boleh campurtangan atau mendesak ajaran agama-agama lain diubah untuk kepentingan mereka. Kalau sempadan ini dicerobohi, maka penganut mana-mana agama boleh menyentuh ajaran agama lain, dan ini boleh menimbulkan rasa marah.

Suhakam sudah mencukupi

IRC tidak diperlukan kerana Suhakam sudah mencukupi. Bukan Islam yang merasakan hak mereka mempraktikkan agama disekat boleh membuat aduan ke sana.

Golongan ini juga menggunakan ‘khilaf’ atau beberapa perbezaan tafsiran dalam ajaran Islam untuk menimbulkan keraguan tentang isu murtad. Sedangkan tujuan mereka hanya untuk menguntungkan bukan Islam tertentu, dan memberi hak kepada orang Islam untuk murtad.

Sedangkan, bukan dalam Islam saja yang ada ‘khilaf’, agama-agama lain pun sama, misalnya perbezaan dalam Kristian. Dan mereka sendiri tidak dapat mendirikan satu badan untuk mengharmonikan semua perbezaan itu.

Ada cadangan supaya IRC boleh bertindak seperti mahkamah, iaitu memutuskan masalah yang timbul antara orang Islam dan bukan Islam dan juga antara sesama Islam, sehingga menguatkuasakan hukumannya. Ertinya, badan yang dianggotai orang Islam dan bukan Islam ini boleh memutuskan bahawa orang Islam mempunyai hak untuk murtad.

Penaja IRC telah dicabar supaya menjelaskan, apakah ada satu badan di dunia ini, yang berkuasa seperti apa yang dicadang mereka, iaitu atas aduan orang yang bukan penganut sesuatu agama terhadap agama lain, maka ajaran agama lain itu boleh diubah?

Ini satu usaha berbahaya kepada orang Islam kerana ia begitu ketara menentang ajaran Islam. Beberapa pihak menentang hebat, antaranya peguam-peguam Islam yang menganggotai jawatankuasa kecil syariah dalam Persatuan Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Muslim dan juga ACCIN (Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs).

ACCIN terdiri dari 14 badan Islam, iaitu Al-Hidayah, Belia Perkim, Gepima, Islamic Information and Services, Islamic Outreach Abim, Jim, Macma, Al-Hunafa, Darul Fitrah, PUM, Ricoi, Saba Islamic Media dan Wamy.

Berselindung atas nama kemanusiaan

Memo itu juga berselindung atas nama kemanusiaan. Hujah mereka, ramai yang menganut Islam secara terpaksa -- kerana mahu berkahwin -- apabila gagal dalam perkahwinan menghadapi masalah besar untuk kembali kepada agama asal, dan terpaksa menanggung kesusahan.

Namun, jika alasan ini diterima maka kemudiannya, alasan-alasan lain juga akan didesak untuk diterima. Golongan tertentu dalam Kristian dikatakan giat berusaha menubuhkan IRC sambil memperkudakan agama-agama lain yang sendiri terkilan kerana penganut mereka dipengaruhi Kristian.

Tiada kompromi terhadap sebarang usaha untuk mempersoalkan prinsip asas Islam, yang tidak terpakai kepada bukan Islam, dan menyentuh orang Islam sahaja, tidak kira sama ada saudara baru atau dilahirkan sebagai Muslim. Mereka berhak memperdebatkan ajaran agama mereka sahaja dan tidak mempersoalkan ajaran agama-agama lain, apatah lagi jika ia ditimbulkan demi kepentingan mereka.

Cuba bayangkan senario ini nanti: Jika orang Islam pun mencabar ajaran Kristian, misalnya patung yang digantung atas salib adalah Jesus Christ, iaitu Nabi Isa kepada orang Islam. Islam menafikan Nabi Isa mati disalib. Oleh itu, adakah orang Islam boleh mendesak agar patung itu dikeluarkan, salib saja boleh pakai?

Begitu juga berkaitan Sikh, yang dalam kitab mereka merujuk Tuhan sebagai Allah. Apa akan jadi apabila umat Islam menggesa supaya istilah Allah itu digantikan dengan nama tuhan yang lain?

III

Majlis Peguam juarai hak untuk murtad?

Beberapa anggota Majlis Peguam, yang diketuai Khutubul Zaman Bukhari dan jawatankuasa kecil hak asasi manusia yang didokong Malik Imtiaz Ghulam Sarwar adalah tonggak kepada IRC (Majlis Antara Agama), satu badan yang memperjuangkan hak orang Islam untuk keluar agama.

Anti-Islam

Sebenarnya IRC adalah badan yang didokong kepentingan bukan Islam, yang bertujuan menentang Islam dalam beberapa aspek, seperti dijelaskan dalam idea asalnya, melalui surat Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh (MCCBCHS), bertarikh 1 Ogos 2001, kepada Majlis Peguam:

Orang Islam hendaklah diberi hak murtad. Supaya dapat berbuat demikian, mahkamah sivil -- dan bukan badan berkuasa syariah -- yang berhak menuntut kebebasan untuk murtad. Definisi Muslim dalam undang-undang negeri adalah amat luas dan tidak mematuhi Perlembagaan. Kad pengenalan orang Islam sepatutnya tidak mencatatkan agama mereka. IRC berkuasa mahkamah

Ada cadangan supaya IRC boleh bertindak seperti mahkamah, iaitu memutuskan masalah yang timbul antara orang Islam dan bukan Islam dan juga antara sesama Islam, sehingga menguatkuasakan hukumannya. Ertinya, badan yang dianggotai orang Islam dan bukan Islam ini boleh memutuskan bahawa orang Islam mempunyai hak untuk murtad.

Penaja IRC dicabar supaya menjelaskan, apakah ada satu badan di dunia ini, yang berkuasa seperti apa yang dicadang mereka, iaitu atas aduan orang yang bukan penganut sesuatu agama terhadap agama lain, maka ajaran agama lain itu boleh diubah?

Jawatankuasa kecil Syariah

Jawatankuasa tersebut di bawah Majlis Peguam berulangkali melalui beberapa surat memberitahu Majlis Peguam dan juga jawatankuasa kecil hak asasi manusia:

IRC yang dicadangkan itu bersifat anti-Islam. Oleh itu, mereka menentangnya.. Tidak mahu terbabit dengan IRC.

Memandangkan Persatuan Peguam adalah badan yang dianggotai peguam Islam dan bukan Islam -- seperti dikehendaki undang-undang untuk menjadi peguam bela dan peguamcara – maka ia tidak sesuai menjuarai mana-mana pihak yang bertentangan dengan pihak lain, sebab kedua-duanya menganggotai Persatuan Peguam. Apa pun, Majlis Peguam tidak mempedulikan pendirian peguam-peguam Muslim dan terus bersikap "membujur lalu melintang patah": AJK Syariah yang menentang IRC tidak dilantik semula dan digantikan dengan Sham Haris Fadhilah yang lantang menjuarai hak orang Islam untuk murtad. Kedua, semua AJK Syariah diserap dalam IRC tanpa persetujuan mereka.

Pengaruh MCCBCHS dalam Majlis Peguam amat bertentangan dengan Seksyen 46A Akta Profesion Peguam yang melarang peguam-peguam yang memegang jawatan dalam badan lain menganggotai Majlis Peguam. Tujuan peruntukan ini supaya peguam boleh bertindak bebas dan tidak dikongkong badan-badan lain.

Namun Majlis Peguam tidak menghiraukannya apabila membenarkan MCCBCHS mempengaruhinya, sekali gus mengetepikan kepentingan dan sensitiviti anggota Islam Persatuan Peguam.

Aktiviti Promosi IRC

Selepas mendapat memorandum MCCBCHS, Majlis Peguam pada 8 Disember 2001 mengadakan festival hak asasi yang bertemakan Hak Kebebasan Agama. Majlis juga menerbitkan satu keluaran khas INSAF (buletin Majlis Peguam) tentang hak kebebasan agama menurut perspektif semua agama.

Anehnya, agama lain digambarkan tiada khilaf tentang kebebasan agama dengan menerbitkan satu artikel saja untuk agama-agama itu, tapi bagi Islam pula ada tiga artikel khusus supaya menunjukkan khilaf; dua oleh Sisters In Islam dan satu oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dari PUM. Jawatankuasa kecil Syariah menulis beberapa surat kepada Majlis Peguam, menegaskan penentangan mereka kepada IRC.

Ketiga, pada 17 Mei 2003, dianjurkan bengkel hak kebebasan agama. Beberapa NGO Islam seperti ABIM, ACCIN dan juga JUST serta Sisters in Islam menarik diri dari bengkel ini.

Keempat, dalam konferens undang-undang Persatuan Peguam, isu hak murtad ditimbulkan beberapa kali sehingga ada beberapa hakim mengeluarkan kata-kata yang bertentangan dengan ajaran Islam mengenai murtad.

Akhir Februari ini, mereka merancang satu persidangan kebangsaan bagi mendirikan IRC. Deraf undang-undang penubuhannya telah siap. Badan-badan Islam dinasihati supaya tidak mendekati secara apa pun persidangan ini.

Tipu helah

Majlis Peguam seolah-olah dalam keadaan terdesak bagi mendapatkan penglibatan orang Islam dalam mendirikan IRC. Justeru, mereka terpaksa melakukan apa saja untuk menunjukkan IRC mendapat sokongan orang Islam.

Antaranya, nama-nama individu Islam yang telah begitu lama menarik diri dan tidak menghadiri mesyuarat untuk mendirikan IRC, masih dikekalkan dalam minit perjumpaan itu seolah-olah mereka mengambil bahagian aktif. Manakala AJK Syariah dimasukkan ke dalam IRC tanpa persetujuan mereka.

Dalam jawatankuasa penubuhan IRC, agama-agama lain diwakili seorang saja, tetapi untuk Islam diwakili pelbagai pihak yang bertentangan, yakni ACCIN (pendapat arus perdana Islam), kumpulan Kassim Ahmad(diwakili Sham Haris Fadhillah), Sisters in Islam dan Dr Chandra Muzaffar (yang berpendapat orang Islam harus diberi hak murtad).

Tujuannya bagi menunjukkan dalam Islam ada pelbagai pendapat tentang murtad, selain melaga-lagakan pihak yang bertentangan itu. Walhal agama-agama lain juga mempunyai pertentangan yang ketara, tetapi dengan diwakili seorang saja seolah-olah agama-agama bukan Islam itu sepakat. Ini jelas satu pembohongan selain menimbulkan fitnah kepada Islam.

(Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian Harakahdaily.net)

-zs

source: haraikahdaily.net



Posted at 04:36 pm by durra
Comment (1)  

Oct 8, 2004
Menjamin keberkesanan sistem Mahkamah Syariah

Rencana Am: Menjamin keberkesanan sistem Mahkamah Syariah

02 December 2001

SISTEM kehakiman Islam adalah sistem perundangan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia. Ia bukan terbatas kepada skop tertentu seperti perkahwinan dan perceraian, sebaliknya membabitkan setiap tingkah laku dan tutur kata masyarakat.

Di Malaysia, salah satu badan yang mengamalkan sistem ini ialah Mahkamah Syariah. Penubuhannya berteraskan keadilan dan kesamarataan kepada setiap kes yang dibicarakan.

Bagi menjamin keberkesanan fungsi Mahkamah Syariah, beberapa pembaharuan dilaksanakan oleh kerajaan bagi memartabatkan penstrukturan sistem perundangan itu supaya setanding dengan sistem perundangan konvensional.

Secara tidak langsung, Mahkamah Syariah adalah mahkamah yang mempunyai bidang kuasanya sendiri. Ia tidak boleh digugat atau disisihkan daripada menjalankan fungsinya sebagai kamar membicara dan memutus kes umat Islam.

Menyorot kembali penubuhan Mahkamah Syariah, ia adalah satu rangkaian pentadbiran setiap kerajaan negeri kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Oleh itu, kerajaan negeri bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan mengawal Mahkamah Syariah.

Perkara ini dijelaskan dalam Jadual Kesembilan senarai dua senarai negeri Perlembagaan Persekutuan. Malah, Perlembagaan juga memperuntukkan perkara tertentu yang dimasukkan dalam bidang kuasa kerajaan negeri, iaitu hukum syarak dan undang-undang diri orang Islam.

Dalam pelaksanaan sistem kehakiman Islam, satu perkara yang paling penting ialah aspek bidang kuasa. Sejauh manakah Mahkamah Syariah mampu
membicarakan kes berkaitan hal ehwal umat Islam seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan?

Apakah bidang kuasanya hanya sinonim dengan perkara berkaitan dengan perkahwinan, perceraian, hak penjagaan anak dan tuntutan harta sepencarian?

Justeru, beberapa langkah meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dilaksanakan oleh kerajaan. Kerajaan meminda beberapa peruntukan undang-undang bagi memastikan perjalanan pentadbiran kehakiman Islam berjalan dengan baik.

Kerajaan Persekutuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Pindaan ini membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman, iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau sehingga enam kali sebatan.

Sebelum pindaan dibuat, kadar hukuman yang dijatuhkan oleh hakim terlalu rendah, iaitu penjara tidak lebih enam bulan dan denda tidak lebih RM1,000. Akibatnya, matlamat membanteras jenayah syariah, iaitu menghalang berlakunya maksiat, tidak tercapai. Pesalah berasakan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim tidak dapat mendidik mereka daripada tidak melakukan maksiat.

Mahkamah Syariah seolah-olah mendapat nafas baru apabila Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dipinda. Pindaan Perkara 121 membolehkan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasanya tersendiri. Sebelum pindaan, keputusan yang dibuat di Mahkamah Syariah boleh dirayu di Mahkamah Tinggi.

Ada beberapa kes berkaitan keputusan Mahkamah Syariah diketepikan sementara keputusan Mahkamah Awam digunakan. Antaranya dalam kes Myriam melawan Arif, apabila perceraian dilakukan di depan kadi, kadi mencatatkan perintah di atas persetujuan kedua-dua belah pihak memberikan hak penjagaan anak, iaitu seorang anak perempuan berusia lapan tahun dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun, kepada bapa (Arif).

Bagaimanapun, selepas ibu (Myriam) berkahwin, beliau merayu ke Mahkamah Tinggi Awam. Hakim memutuskan anak lelaki diserahkan kepada ibu dan anak perempuan diserahkan kepada bapa. Keputusan ini dibuat berdasarkan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa di bawah Guardianship of Infant Act 1961 yang diterima oleh Dewan Undangan Negeri Selangor.

Keadaan ini menggambarkan Mahkamah Syariah tidak berfungsi sebagai kata pemutus dalam kes orang Islam.

Kewibawaan Mahkamah Syariah semakin besar apabila bidang kuasa Hakim Syarie dinaikkan. Pindaan Perkara 5(4) Akta Perlembagaan 1988 membenarkan Hakim Syarie mengeluarkan perintah menangkap pesalah.

Sebelumnya, Hakim Syarie tidak boleh mengeluarkan arahan menangkap pesalah melebihi 24 jam. Akibatnya, ia menyulitkan bahagian penguat kuasa agama menjalankan siasatan mengenai sesuatu kes syariah.

Dalam konteks penyusunan semula pentadbiran Mahkamah Syariah, beberapa pembaharuan membabitkan kategori mahkamah dilaksanakan. Penyusunan membolehkan mahkamah mempunyai hierarki seragam, cekap dan mantap.

Mahkamah Syariah kini mempunyai tiga jenis, iaitu Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Setiap mahkamah mempunyai bidang kuasa tersendiri seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Meskipun beberapa pembaharuan membabitkan bidang kuasa dan susunan mahkamah, namun masih ada beberapa perkara yang perlu diamati bagi meningkatkan mutu sistem kehakiman Islam di negara ini.

Antara aspek yang perlu ditekankan ialah bidang kuasa mahkamah membicarakan kes berkaitan tuntutan harta pampasan, harta pesaka dan wasiat. Mahkamah Syariah kini hanya mampu mengeluarkan Sijil Faraid jika sesuatu tuntutan dilakukan membabitkan kes itu.

Sebaliknya, Mahkamah Awam berhak mengeluarkan arahan bagi mengarahkan pentadbiran harta pusaka. Akibatnya kes-kes sedemikian hendaklah terlebih dulu dibacakan di Mahkamah Awam. Setelah Surat Mentadbir (LA) harta pusaka diperolehi, barulah waris si mati boleh menguruskan pembahagian harta pusaka.

Oleh itu, di manakah bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam kes tuntutan seperti ini? Justeru, Mahkamah Syariah masih dilihat terhalang daripada membicarakan kes membabitkan hal ehwal umat Islam.

Sehubungan itu, bagi memastikan keberkesanan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam kes itu, beberapa langkah susulan terhadap penggunaan undang-undang bertulis perlu dikaji bagi memastikan perjalanan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak terganggu oleh mana-mana peruntukan undang-undang bertulis.

Antara undang-undang bertulis itu ialah:
- Court Of Judicature Act 1964
Seksyen 4 akta ini menyatakan jika ada pertentangan atau percanggahan di antara akta itu dan mana-mana undang-undang bertulis lain, kecuali perlembagaan yang berkuatkuasa pada tarikh berkuatkuasa akta itu, peruntukan akta ini hendaklah mengatasi undang-undang itu. Seksyen ini sepatutnya dimansuhkan.
- Trust Act (Akta 208)
Wasiat tidak boleh termasuk dalam maksud ‘trust’ mengikut akta ini.
- Evidence Act 1950
Seksyen 112 akta ini berkenaan kesahtarafan dan Seksyen 100 berkenaan tafsiran wasiat tidak boleh dikelaskan kepada orang Islam.
- Guardianship of Infant Act 1961
Akta ini tidak boleh diterima pakai bagi negeri yang telah mempunyai peruntukan mengenai hak penjagaan anak orang Islam.
Selain mengetengahkan beberapa undang-undang bertulis yang perlu dikaji supaya tidak bercanggah dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah, beberapa peruntukan masih belum ada dalam enakmen perlu digubal.

Setiap kerajaan negeri melainkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan perlu menggubal beberapa peruntukan supaya perjalanan kehakiman Islam dapat diseragamkan di antara negeri.

Antaranya, mengadakan kanun prosedur yang menjelaskan setiap bentuk kesalahan hukuman selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Kedua, mengadakan istilah perundangan yang mengambil kira hukum fekah dan bukannya meniru perkataan yang digunakan oleh undang-undang sivil. Langkah sedemikian dapat menghalang kefahaman berbeza di kalangan pengamal undang-undang yang secara tidak langsung boleh menjelaskan keadilan sesuatu keputusan mahkamah.

Berikutan penyusunan undang-undang Islam yang tidak seragam, mahkamah dilihat seolah-olah gagal berfungsi dengan baik walaupun kes itu membabitkan hukum Islam seperti yang digariskan oleh Perlembagaan.

Kesan yang boleh dilihat daripada berlakunya kecelaruan dalam minda masyarakat, termasuk masih ada lagi orang Islam yang memohon kepada Mahkamah Tinggi melalui pengisytiharan mahkamah, menyatakan dia sudah keluar Islam. Sedangkan untuk menentukan murtad atau tidak seseorang itu adalah tertakluk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apabila mahkamah memutuskan dia murtad, maka Pejabat Agama boleh mengeluarkan Sijil Murtad kepadanya.

Bagi meningkatkan kewibawaan mahkamah, penyusunan perlu mengambil kira jentera mahkamah. Kakitangan dan kemudahan pengurusan mencukupi adalah antara elemen perlu ditekankan.

Mahkamah Syariah semestinya menjadi model pertumbuhan sistem keadilan berkesan bagi keamanan masyarakat seluruhnya.



Posted at 10:33 am by durra
Make a comment  

Sep 3, 2004
Wanita kita tadbir negara selaras zaman Rasulullah

Wanita kita tadbir negara selaras zaman Rasulullah

Oleh Ruswati Hashim

 

WANITA, tempatnya di ceruk dapur. Wanita tidak boleh menjadi ketua. Mereka mesti menjadi pengikut lelaki. Demikian antara nilai yang menjadi pegangan sebahagian besar masyarakat Islam hingga perkara itu menjadi fitnah besar kepada din Islam.


Musuh Islam mengambil kesempatan itu untuk melemparkan tohmahan bahawa Islam adalah agama yang menindas kaum Hawa, merendah-rendahkan martabat mereka dan menganggap wanita adalah manusia kelas dua!

Persoalannya, benarkah begitu? Tulisan ini tidak akan menyentuh isu lain berkaitan wanita seperti hak dalam perkahwinan, harta pusaka dan kesaksian. Penulis hanya akan membincangkan skop sejauh mana Islam membenarkan wanita terbabit dalam sosiopolitik masyarakat dan negara.

Sebenarnya, menjadi hukum yang jelas bahawa ulama mengharuskan pembabitan wanita dalam soal pentadbiran, pengurusan dan sebahagian kepemimpinan negara.

Contoh nyata daripada sirah Rasulullah saw dan sahabat menjadi dalil kepada keharusan pembabitan wanita dalam pentadbiran masyarakat dan negara.

Kaum wanita pada zaman Rasulullah turut menyumbangkan saranan mengenai isu politik dan negara. Ummu Salamah, misalnya, pernah mencadangkan jalan keluar kepada Baginda dalam Peristiwa Hudaibiah ketika sahabat tidak bersetuju untuk kembali ke Madinah dan mengerjakan haji pada tahun berikutnya. (Bukhari, Kitab: Syarat, bab: Syarat-syarat dalam berjihad dan berdamai dengan musuh perang, jilid 6, muka 257, 269 dan 276 ). Begitu juga cadangan Ummu Sulaim kepada Rasulullah ketika Perang Hunain mengenai orang yang cuba lari daripada medan perang. (Muslim, Kitab: Jihad, Bab: Kaum wanita berperang bersama kaum lelaki, jilid 5, muka 196).

Dalam suasana kegawatan politik umat Islam selepas pembunuhan Saidina Uthman, kita dapati Saidatina Aishah turut membabitkan diri dengan pendapat dan tuntutan bersama sahabat lain, supaya pembunuh Uthman dihukum qisas. Malah, beliau turut dalam Perang Jamal melawan Saidina Ali (semoga Allah mengampunkan mereka!)

Demikian juga ketegasan, keberanian dan ketajaman lidah Asma’ binti Abu Bakr ketika berhadapan dengan penguasa zalim Al-Hajjaj bin Yusuf As-Saqafi selepas mereka membunuh dan mensalibkan anaknya Abdullah bin Zubair. (Muslim, Kitab: Keutamaan-keutamaan, Bab : Kebohongan suku Thaqif dan kecurangannya, jilid 7, muka 190)

Kaedah usul mengatakan bahawa asal segala sesuatu adalah harus, selagi tidak ada dalil lain yang mengharamkannya.

Dalam konteks negara kita, tugas wanita mentadbir negara perlu dilihat dari dua sudut.

Pertama, penggubal undang-undang dan peraturan dan kedua, pelaksana atau pemantau undang-undang dan peraturan.

Mengenai penggubalan undang-undang, Islam tidak pernah melarang wanita menjadi penggubal undang-undang. Perkara sedemikian kerana penggubalan undang-undang memerlukan ilmu pengetahuan luas dan pemahaman mendalam terhadap tuntutan serta keperluan masyarakat.

Dalam hal ini, Islam memberi hak yang sama kepada lelaki dan wanita untuk mendapatkan ilmu. Dalam sejarah banyak ditemui wanita yang alim dalam bidang hadis, fiqh, sastera dan sebagainya.

Berkenaan soal pelaksanaan dan pengawasan, hal ini tidak lepas daripada tugas amar makruf dan nahi mungkar.

Pada pandangan Islam, lelaki dan wanita sama-sama berkewajipan menjalankan tugas ini. (Surah at-Taubah, ayat 71)

Menurut Dr Yusuf Qradhawi ketika menghuraikan ayat 34, surah an-Nisa’, menjelaskan bahawa pemilihan beberapa wakil rakyat wanita ke dalam Parlimen hanya bersifat minoriti dan majoriti mutlak masih di tangan lelaki.

Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa pemilihan wanita ke Parlimen akan menjadikan mereka pemimpin lelaki.

Beliau juga menambah, ayat itu mengenai kepemimpinan lelaki ke atas wanita lebih cenderung kepada permasalahan kehidupan dalam keluarga. Ertinya kaum lelaki adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab penuh terhadap keluarganya.

Ungkapan “dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian harta mereka” menunjukkan bahawa kepemimpinan yang dimaksudkan adalah terhadap keluarga.

Adapun kepemimpinan sebahagian wanita ke atas sebahagian lelaki di luar lingkungan keluarga, tidak ada nas yang melarangnya. Apa yang dilarang adalah kepemimpinan umum seorang wanita ke atas lelaki (pemimpin umat).

Sementara maksud sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Abu Bakr bahawa tidak akan pernah berjaya satu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada seorang wanita adalah kepemimpinan umum ke atas umat secara keseluruhan.

Kalimat “urusan mereka” bererti urusan kepemimpinan dan ketua negara, tetapi jika kepemimpinannya untuk sebahagian urusan saja seperti dalam urusan fatwa, ijtihad, pendidikan, periwayatan hadis, pentadbiran dan seumpamanya, tidak ada larangan bagi wanita.

Malah, dalam menentukan keputusan pengadilan (hakim), Imam Abu Hanifah mengharuskannya, selagi tidak berkaitan dengan hudud dan qisas.

Sementara itu, ada sebahagian ulama fiqh salaf yang memperbolehkan kesaksian wanita dalam masalah hudud dan qisas seperti yang disebutkan oleh Ibnu al-Qaiyim dalam kitab ath-Thuruq al-Hukmiyah. At-Thabari dan Ibnu Hazm pula mengharuskan kesaksian wanita secara umum.

Ulama juga sepakat bahawa ada beberapa hal dalam masalah membuat hukum berkaitan wanita dan keluarga serta pelbagai hubungannya perlu ditangani oleh wanita. Tidak dapat tidak dan barang kali dalam beberapa hal, pandangan kaum wanita lebih tajam daripada lelaki.

Dr Yusuf Qardhawi memberi contoh ketika pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab, beliau mengambil pendapat wanita dalam beberapa perkara seperti tidak perlunya menetapkan bayaran maksimum mas kahwin dan tempoh seorang wanita boleh bersabar sewaktu ketiadaan suami kerana keluar berperang.

Apa pun, perlu diingatkan di sini bukanlah apabila wanita dibenarkan mentadbir masyarakat dan negara, mereka boleh bercampur dengan lelaki ajnabi tanpa syarat dan batas atau kegiatannya sampai merugikan suami, rumah tangga dan anak-anak. Begitu juga pembabitannya menyebabkan norma Islam berkaitan pakaian, gerak-geri dan pembicaraan diketepikan.

Sebaliknya semuanya hendaklah dijaga dan diperhatikan sepenuhnya tanpa kecuali.



l PENULIS ialah pendidik berijazah dan boleh di hubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com dan jawapan sebarang permasalahan di www.wanitajimceria.blogspot.com

 


Posted at 10:23 am by durra
Make a comment  

Jul 26, 2004
SKOP: Pegawai kurang terlatih jejas laksana undang-undang Islam

 Rencana dan Pendapat -

SKOP: Pegawai kurang terlatih jejas laksana undang-undang Islam


UNDANG-undang jenayah syariah diwujudkan bagi mengawal dan memantau umat Islam daripada melakukan sesuatu kesalahan yang bercanggah dengan syariat Islam.

Bagi mengukuhkan pentadbiran undang-undang ini, beberapa enakmen atau akta digubal. Antaranya Enakmen Tatacara Jenayah atau Kanun Prosedur Jenayah, Enakmen Jenayah Syariah dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam.

Dengan adanya undang-undang terbabit, penguat kuasa boleh menangkap dan menahan mana-mana orang yang melakukan kesalahan untuk didakwa sebelum dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman denda, penjara atau sebatan. Tidak kurang juga, ada terpaksa dibebaskan kerana pendakwa syarie gagal membuktikan wujud kes prima facie.

Dalam hal ini, penguat kuasa dan pendakwa hendaklah benar-benar mengemukakan bukti kukuh bahawa seseorang yang dituduh benar-benar melakukan kesalahan seperti tercatat dalam nota pertuduhan.

Bukti seperti pengakuan tertuduh, keterangan saksi dan qarinah ini cukup mustahak bagi memastikan modus operandi pihak pendakwa berjaya meyakinkan mahkamah hingga ke tahap tidak ada keraguan munasabah.

Pendakwaan ini sudah tentu lebih mudah jika pesalah mengaku secara terang-terangan melakukan kesalahan itu.

Namun persoalannya, apakah pengakuan bersalah tertuduh itu boleh diterima jika dibuat di luar mahkamah syariah? Sejauh mana bidang kuasa penguat kuasa, pendakwa dan Mahkamah Syariah dalam hal ini?

Pelbagai pandangan dikemukakan mengenai isu itu, terutama siapakah yang patut melaksanakan tugas itu?

Pertikaian mengenai isu ini juga menimbulkan kekeliruan bukan saja pada masyarakat Islam, malah bukan Islam. Ada yang mempertikaikan kewibawaan agensi penguatkuasa agama di negara ini kerana tidak bertindak terhadap orang Islam yang mengaku melakukan kesalahan syariah, tetapi tidak didakwa mengikut undang-undang Islam.

Perbincangan mengenai perkara ini berlaku bertahun-tahun, tanpa penyelesaian menyeluruh, konsisten dan tegas.

Banyak perkara dikatakan menyebabkan ia tidak dilaksanakan, terutama bidang penguatkuasaan di Jabatan Agama Islam negeri.

Dalam hal ini, dua perkara utama kerap menghantui pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang Islam iaitu bilangan pegawai penguat kuasa yang tidak mencukupi dan kakitangan kurang terlatih.

Agensi penguatkuasaan agama amat mustahak bagi melaksanakan beberapa peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah.

Dalam menjalankan tugasan itu, mereka perlu melaksanakan beberapa prosedur seperti siasatan dan menyediakan laporan lengkap sebelum dikemukakan kepada bahagian pendakwaan.

Difahamkan, ramai pegawai penguat kuasa dilantik secara kontrak, sementara kebanyakan pegawai terbabit tidak memiliki kelulusan dalam bidang perundangan.

Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mahir selok belok perundangan, termasuk bidang kuasa dan tugas sebagai penguat kuasa agama secara menyeluruh.

Tidak dinafikan, ada pegawai hanya menguatkuasakan kes yang memerlukan sabitan tanpa memerlukan siasatan mendalam seperti kes khalwat dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam, bukannya membabitkan kesalahan takzir yang diperuntukkan dalam akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pihak terbabit perlu memastikan bahagian penguatkuasaan di jabatan agama negeri masing-masing dapat berfungsi dengan berkesan.

Katanya, masalah kakitangan yang sedikit ini pernah beberapa kali diketengahkan, tetapi penyelesaian secara menyeluruh belum lagi dapat dicapai.

“Ia berkemungkinan ada kerajaan negeri yang menghadapi masalah kewangan kerana penambahan perjawatan itu memerlukan peruntukan kewangan yang besar.

“Namun, jika pihak terbabit mahukan pelaksanaan pentadbiran perundangan ini lebih lancar dan cekap, sewajarnya segala permasalahan yang membelenggu agensi itu segera diatasi,” katanya.

Zainul Rijal, berkata, bidang kuasa jenayah syariah yang diperuntukkan dalam enakmen jenayah syariah negeri meliputi beberapa kesalahan seperti berkaitan akidah, kesucian Islam dan institusi serta kesalahan berkaitan tata susila.

Setiap bahagian atau bab kesalahan itu pula, katanya, merangkumi pelbagai kesalahan lain yang dinyatakan secara khusus.

Umpamanya, kesalahan berkaitan akidah tidak hanya membabitkan ajaran sesat, malah kesalahan takfir (mengkafirkan orang lain), doktrin palsu, dakwaan palsu, pemujaan salah dan kesalahan mendakwa diri tidak Islam.

Dalam pada itu, penguat kuasa agama turut diberikan kuasa menyiasat dan menguatkuasakan beberapa peruntukan dalam akta atau Enakmen Kekeluargaan Islam seperti menceraikan isteri di luar mahkamah, berpoligami tanpa kebenaran, nikah di luar kawasan dan kes komital iaitu pelanggaran perintah mahkamah syariah.

Pada masa sama, birokrasi di kalangan pegawai penguat kuasa ini juga sering membebankan Mahkamah Syariah terutama apabila sesuatu hukuman penjara dikeluarkan hakim syarie kepada pesalah.

Difahamkan, ada pegawai penguat kuasa yang membiarkan tanggungjawab itu kepada mahkamah syariah seolah-olah kakitangan mahkamah yang sepatutnya melakukan tugas terbabit.

Sedangkan, bidang kuasa menghantar pesalah ke penjara adalah tanggungjawab penguat kuasa agama seperti mana amalan polis di mahkamah sivil.

Jadi, kata Zainul Rijal, agensi penguatkuasaan amat penting dalam menguatkuasakan segala peruntukan yang diwartakan dalam setiap enakmen atau akta negeri-negeri.

Namun, katanya, persoalan sekarang adalah sejauh mana bidang kuasa itu dimanfaatkan untuk kebaikan pentadbiran perundangan Islam.

Sehubungan itu, PGSM mahukan usaha ke arah meningkatkan profesionalisme agensi penguatkuasaan agama di setiap jabatan agama Islam negeri disegerakan dengan menambah bilangan pegawai berkelayakan, di samping melatih kakitangan sedia ada.

Masalah yang membelenggu agensi itu turut menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan masyarakat. Ada yang menuding jari kepada Mahkamah Syariah dengan mendakwa institusi itu tidak membicarakan kes berkaitan kesalahan orang Islam.

“Mereka mendakwa Mahkamah Syariah tidak cekap, tidak berwibawa dan lembap, sedangkan dari segi prosedur, Mahkamah Syariah hanya memutuskan sesuatu kes, bukannya menguatkuasa atau menyiasat sesuatu kes.

“Tanggungjawab itu sebenarnya terletak agensi penguat kuasa dan pendakwaan.

“Jika hanya dua atau tiga kes jenayah syariah yang didakwa, maka kes itu yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah tidak ada kena mengena dalam hal ini,” katanya.

Selain itu, masalah ketidakseragaman pentadbiran Islam yang masih berlarutan hingga sekarang adalah antara punca utama kekalutan dalam hal ehwal penguatkuasaan, pendakwaan dan pengurusan mahkamah syariah di antara negeri.

Ketidakseragaman ini menyebabkan wujud pelbagai konflik dalam institusi pentadbiran perundangan Islam, sekali gus menjejaskan usaha ke arah memartabatkan undang-undang syariah di negara ini.


Posted at 04:13 pm by durra
Comments (3)  

Jun 23, 2004
Jenayah Zina dan Hukumannya

   Allah SWT berfirman yang bermaksud:
   " Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah (sebatlah) tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera(sebatan), dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman"
                                          - An-Nur:2-

   Di sebalik penurunan surah ini ialah Allah SWT ingin mengkhabarkan kepada hamba-hambanya yang mukmin akan syariat-syariat, hukuman dan segala peraturan, dan sebagainya. Diturunkan Al-Qur'an juga bukan semata-mata untuk pembacaan( tilawah), tetapi untuk menerangkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT.

DAMPAK JENAYAH ZINA
1) Menodai kesucian dan kemuliaan insan.
2) Menghilangkan nasab (yang mana anak-anak yang lahir tidak mengetahui siapakah bapa dan keturunan mereka).
   Disebabkan mudharat-mudharat dan kesan-kesan jangka masa pendek dan panjang itulah, Allah SWT mensyariatkan hukuman tersebut.

...to be continued..

Posted at 02:53 pm by durra
Make a comment